TARIKH AKHIR

SANTAI

KOLEKSI PANTUN NASIHAT

Angin teluk menyisir pantai,
Hanyut rumpai di bawah titi,
Biarlah buruk kain dipakai,
Asal pandai mengambil hati.


Pergi mendaki Gunung Daik,
Hendak menjerat kancil dan rusa,
Bergotong-royong amalan yang baik,
Elok diamalkan setiap masa.


Air melurut ke tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk,
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.


Daun sirih ulam Cik Da,
Makan sekapur lalu mati,
Walaupun banyak ilmu di dada,
Biar merunduk resmi padi.


Buah pelaga makan dikikir,
Dibawa orang dari hulu ,
Sebarang kerja hendak difikir,
Supaya jangan mendapat malu.


Tulis surat di dalam gelap,
Ayatnya banyak yang tidak kena,
Jagalah diri jangan tersilap,
Jikalau silap awak yang bencana.


Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembetung ,
Bulat manusia kerana muafakat.


Pakai baju warna biru,
Pergi ke sekolah pukul satu,
Murid sentiasa hormatkan guru,
Kerana guru pembekal ilmu.


Lagu bernama serampang laut,
Ditiup angin dari Selatan,
Layar dikembang kemudi dipaut,
Kalau tak laju binasa badan.


Padi segemal kepuk di hulu,
Sirih di hilir merekap junjungan,
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.


Budak-budak berkejar-kejar,
Rasa gembira bermain di sana,
Kalau kita rajin belajar,
Tentu kita akan berjaya .


Jangan pergi mandi di lombong,
Emak dan kakak sedang mencuci,
Jangan suka bercakap bohong,
Semua kawan akan membenci.


Buah cempedak bentuknya bujur,
Sangat disukai oleh semua,
Jika kita bersikap jujur,
Hidup kita dipandang mulia.


Jikalau tuan mengangkat peti,
Tolong masukkan segala barang,
Jikalau anak-anak bersatu hati ,
Kerja yang susah menjadi senang.


Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya,
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.

Kayu bakar dibuat arang,
Arang dibakar memanaskan diri,
Jangan mudah menyalahkan orang,
Cermin muka lihat sendiri.


Selasih tumbuh di tepi telaga,
Selasih dimakan si anak kuda,
Kasih ibu membaa ke syurga,
Kasih saudara masa berada.


Masuk hutan pakai sepatu,
Takut kena gigitan pacat,
Kalau kita selalu bersatu,
Apa kerja mudah dibuat.

Bandar baru Seberang Perai,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan tulang berkecai,
Budi yang baik dikenang juga.


Encik Dollah pergi ke Jambi,
Pergi pagi kembali petang,
Kalau Tuhan hendak membagi,
Pintu berkancing rezeki datang.


Orang haji dari Jeddah,
Buah kurma berlambak-lambak,
Pekerjaan guru bukanlah mudah,
Bagai kerja menolak ombak.


Pinang muda dibelah dua,
Anak burung mati diranggah,
Dari muda sampai ke tua,
Ajaran baik jangan diubah.


Terang bulan di malam sepi,
Cahya memancar kepangkal kelapa,
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada ibu dan juga bapa.


Kapal kecil jangan dibelok,
Kalau dibelok patah tiangnya,
Budak kecil jangan di peluk ,
Kalau dipeluk patah tulangnya.


Asal kapas menjadi benang ,
Dari benang dibuat kain ,
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah menjadi hak orang lain.


Tengahari pergi mengai,l
Dapat seekor ikan tenggiri,
Jangan amalkan sikap bakhil,
Akan merosak diri sendiri.


Kapal Anjiman disangka hantu,
Nampak dari Kuala Acheh,
Rosak iman kerana nafsu,
Rosak hati kerana kasih.


CINTAILAH SUNGAI KITA